CHALLENGER Malaysia

Apa pendapat anda tentang situasi politik di Malaysia?

Kita berada dalam era yang menarik, ragu-ragu akan kemana halatuju negara kita bakal menyonsong jika mahu dibandingkan keadaan sebelum ini yang agak mudah dijangka. Konservatism masih kukuh, berkuasa dan diinstitusikan, sehingga di satu peringkat suara liberal agak terpinggir dan diabaikan. Di peringkat rakyat, pertentangan kedua agenda ini membuahkan ketegangan dan pergeseran yang membimbangkan. Kita perlu bersedia menyiasat dan berusaha mengubati akar permasalahan ini,yang mana agama dan bangsa dimainkan dan menjadi punca perbalahan semasa. Di satu sudut, sentimen konservatism dalam beragama agak kuat dan disatu sudut yang lain idea-idea yang dikatakan liberal tidak langsung mendapat tempat dalam hati ramai, banyak orang berpendapat idea-idea progresif sebagai idea yang terlalu keBaratan dan kegagalan menyesuaikan idea-idea progresif dengan konteks setempat juga tambah memarahkan lagi keadaan.

Kita perlu sedar bahawa majoriti rakyat mahu mengamalkan agama dan menganggap spiritualiti aspek yang penting dalam hidup, oleh itu apa-apa idea progresif yang ingin diketengahkan perlulah dibawa dalam konteks agama (religious framework).


Adakah wanita muda berminat dengan politik?

Mendapatkan penyertaan wanita muda kedalam politik (tidak kira parti atau bukan) adalah amat sukar. Mungkin ini hasil budaya. Golongan wanita muda tidak berasa ‘sense of belonging’ untuk berada ditengah-tengah masyarakat dan terlibat dalam program-program komuniti dan kerja-kerja memperbaiki masyarakat.

Mereka langsung tak berminat dengan politik. Salah satu sebab mungkin kerana mereka merasa tidak diberikan suara/hak untuk menyuarakan pendapat, dan merasakan politik terlalu bahaya untuk diceburi, dan wanita tak wajar berbincang hal politik. Ini mentaliti tipikal. Mereka merasakan tak perlu ambil peduli hal politik dan lebih baik tinggalkan urusan-urusan menekuni hal politik kepada lelaki, ditambah lagi dengan bidang ini memang sedia diceburi oleh golongan lelaki. Ia sangat menyedihkan. Budaya politik kita sangat gangster dan dipenuhi dengan lelaki-lelaki yang bersifat maskulin toksik (sesetengahnya masih mengamalkan budaya all boys club), lihat sahaja bagaimana MP wanita dilayan di Parlimen, dan bagaimana budaya keganasan sangat berleluasa dalam kancah politik negara kita.dan hal ini lebih menyukarkan wanita yang berminat untuk terjun kedalam bidang ini. Mereka yang ada dalam politik selalu dikecam moraliti dan menerima komen berbaur seksual dan ugutan keganasan seksual, jadi wanita berasa keselamatan dan nyawa boleh terancam jika menyertai politik, yang mana menyebabkan hanya segelintir sahaja yang berani menceburi bidang ini.

 


Adakah anda rasa kita sudah cukup usaha mendidik anak muda kita dengan rasa ingin tahu?

Tidak. Rasa ingin tahu yang tinggi muncul melalui akses, peluang dan pendidikan yang mencukupi dan berkualiti. Kita perlu mendidik generasi muda melangkaui kepompong stereotaip gender. Kanak-kanak lelaki dan perempuan perlu digalakkan mencuba perkara baru, dididik memerhatikan hal-hal seputar mereka dan peduli untuk menyuarakan apa yang mereka rasa.

 

Apa pendapat anda terhadap polisi Malaysia?

Polisi kita ditakat yang baik, tetapi pelaksanaan sangat bermasalah. Secara peribadi, saya sendiri banyak menyaksikan pengamalan korupsi dalam bidang kerja saya. Korupsi berleluasa dan hampir boleh dikatakan mampu dilakukan dalam kerangka undang-undang yang sah.

Jika pembangkang mahu menggulingkan kerajaan sedia ada, saya fikir mereka perlu lebih gigih memahirkan anak muda mereka soal polisi negara.

 

Apa yang membangkitkan keberanian anda untuk bercakap atau terlibat dengan hal-hal politikal?

Saya bermula dengan melepak dengan kawan sekepala, yang ada minat yang serupa dan perlahan-lahan kami berdiskusi pelbagai topik semasa. Kemudian kami menyertai bengkel yang diadakan SUARAM Pulau Pinang. Kalau awak seorang saja mungkin akan rasa bersendirian dan tak difahami, jadi,cari kawan yang sekepala dan mulalah berdiskusi!

 

Apa perubahan yang anda ingin lihat di Malaysia?

Kita ada Polisi Nasional Wanita, kita juga ada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Cuma ia tidak diterjemahkan dengan baik dalam proses perlaksanaan. Kita perlu akui rata-rata wanita di Malaysia memilih berkahwin dan melahirkan anak, yang mana ia perlukan sokongan polisi dan fleksibiliti untuk membantu mereka turut terlibat dalam pembangunan kerjaya. Sayangnya di Malaysia kurangnya polisi dan pelan-pelan yang memudahkan mereka turut menjalani kerjaya dengan baik ditambah norma masyarakat yang meletakkan tanggungjawab menguruskan rumahtangga dan anak hanya kepada wanita. Hasilnya,kebanyakkan wanita akan berhenti bekerja dan tidak lansung kembali kedalam pasaran kerja selepas itu,dan ini kita kerugian bakat yang sangat berharga. Sesetengah wanita memilih untuk kerja dari rumah, yang mana ia pilihan masing-masing tetapi mereka juga perlu sedar memilih untuk berniaga sendiri/kerja dari rumah tergolong dalam sektor ‘tidak stabil’ (vulnerable). Pesanan saya kepada semua MP, berhenti jadikan isu wanita sebagai teknik meraih undi semata-mata dan tolonglah berusaha dengan jujur.

 

Apa langkah yang baik untuk menjayakan usaha memberdayakan wanita?

Dalam aktivism, kami bentuk satu kumpulan yang menyokong satu sama lain. Secara umum, saya berpendapat polisi untuk golongan wanita akan sangat membantu, contohnya polisi penjagaan kanak-kanak, dan lain-lain. NGO hak hak wanita banyak fokus isu penceraian dan keganasan domestik yang saya kira sangat bagus, tetapi kita juga perlu mendidik kanak-kanak perempuan untuk membesar dengan mentaliti bahawa mereka setara dengan kanak-kanak lelaki supaya mereka membesar menjadi wanita yang berkeyakinan untuk bersaing dengan kompeten dan tidak dipengaruhi retorik peranan gender (perempuan pasif, hanya duduk dirumah dan sebagainya). Hal ini juga agak subjektif kerana ia turut bergantung kepada bagaimana seseorang wanita dibesarkan dan pengaruh-pengaruh yang memainkan peranan terhadapnya. Sepanjang menceburi bidang ini saya juga sedar bahawa inisiatif-inisiatif ini tidak akan berjaya jika wanita sendiri tidak menyambutnya. Kebanyakan wanita pula tidak menganggap hal-hal pemberdayaan wanita penting kerana mentaliti mereka banyak mendahulukan orang lain berbanding diri sendiri, contohnya keluarga,suami dan anak. Wanita sewajarnya memahami bahawa mereka perlu lebih memainkan peranan yang signifikan diruang awam demi membentuk masyarakat yang lebih inklusif dan maju.

Ain Nasiehah, 24, Aktivis Hak Wanita