CHALLENGER Malaysia

Siapakah yang anda ingin menjadi Perdana Menteri ke-7?

Azmin Ali. Nampak gaya dengan apa yang dia buat untuk Selangor nampak meyakinkan tetapi itu kalau kita letak pada kayu ukuran individu. Tapi, malangnya hal ini tidak dapat diukur dalam bentuk Pakatan Harapan yang diwakili sebab kita tahu ada banyak hal yang belum diselesaikan.

Pun begitu untuk melihat Barisan Nasional untuk memegang sebagai kerajaan dan menjadi PM sekali lagi, saya rasa hal itu akan menjadi satu keracunan kepada Malaysia. Ini bagi saya jelas, rakyat tidak pernah alami pertukaran kerajaan persekutuan.

Jadi, saya masih meletakkan harapan untuk ada pertukaran kerajaan persekutuan supaya rakyat Malaysia ini tahu, kita ada pilihan, itu yang pertama.

Kedua, komen saya tentang Azmin Ali bukan atas kapasiti saya sokong Pakatan Harapan. BN akan tahu bagaimana hendak dedahkan korupsi ini sebab mereka sudah korup lebih lama daripada yang kita tahu.

Jadi mereka berada dalam sistem telah lama, jadi untuk satu orang ada di dalam sistem untuk bertukar, maknanya BN akan jadi pembangkang yang lebih baik.

Hal ini akan menjadi satu situasi menang-menang untuk rakyat. Agak menyedihkan kerana ukuran yang kita ada adalah siapa yang paling kurang korup. Pun begitu, kita nak apa yang terbaik untuk Malaysia dan rakyat Malaysia perlu dididik untuk perubahan.

 

Apakah pendapat anda tentang persengketaan Azmin Ali & Rafizi Ramli?

Kem berbeza dalam satu parti ini sebenarnya bukan hal yang baru tapi ia menjadi sangat hangat akhir akhir ini bila hal ini berlaku dalam PKR.

Sebagai contoh, UMNO pernah wujud kem berbeza ketika zaman Tun M dan Ku Li. Lalu berpecah menjadi Semangat 46 dan UMNO.

Hal sama juga terjadi antara Parti Amanah dan PAS. Jadi, kem yang berbeza bukan perkara baru, cuma menariknya dari krisis ini, ke mana halatuju PKR.

Kita juga wajib berlaku adil. Rafizi belum lagi mendapat peluang untuk menunjukkan dirinya sebagai ‘statesman’. Memegang kuasa pentadbiran. Dirinya dicorak sebagai strategis pasti. Berjaya atau tidak itu terpulang untuk dinilai. Azmin Ali pula mendapat peluang sebagai Menteri Besar Selangor.

Tapi itu tidak bermakna Rafizi Ramli tidak lebih baik daripada Azmin Ali, dia cuma belum ada pelung untuk memegang jawatan atau apa-apa selain daripada jawatan parti.

 

Apakah pendapat anda tentang situasi politik di Malaysia?

Saya ambil sudut mahasiswa. Pertelingkahan cerita politik tidak secara total melambangkan apa yang berlaku pada akar umbi. Sebagai contoh, kes Anis Syafiqah, dia menjadi media darling untuk Malaysiakini, the Malaysian Insider. Tapi soalnya, kalau kita ukur iklim, kita harus libatkan semua daripada akar rumput sampai ke atas.

Sebagai contoh kes Anis Syafiqah kalau kita bincangkan, hal ini adalah sesuatu yang sering dimainkan oleh berita pembangkang yang anggapannya itu dikira sebagai berita nasional. Pun begitu, kita lihat dari segi akar rumput, dalam peringkat universiti dan di UM sendiri ia sangat berbeza. Pelajar tidak ambil tahu, pelajar tidak turun padang dan kalau kita lihat di UM sendiri kita ada hampir 19 ribu mahasiswa. Berapa ramai turun bersolidariti ketika kes Anis Syafiqah.

Maknanya, iklim politikal yang mungkin kita hendak digelar dalam berita nasional tidak menggambar iklim akar umbi. Kita boleh lihat asa tembok memisahkan kedua-dua itu.

Jadi bagaimana kita hendak menyelesaikan iklim politik sebegini? Cerita-cerita yang bergulir dalam berita nasional harus datang daripada bawah dan bukan daripada atas. Kita tiada media tempatan. Media setempat. Selain daripada luar lingkup mahasiswa, contoh yang boleh kita lihat ialah, kita tahu yang ramai orang tidak tengok bergantung kepada berita arus perdana. Cerita-cerita politik ini menjadi cerita yang tidak membantu kita dengan perurusan seharian kita. Jadi bagaimana kita hendak anggap cerita-cerita politik ini adalah cerita yang bermakna dan punyai nilai.

 

Apakah pendapat anda tentang cara kerajaan mengendalikan hal-hal mahasiswa?

Apakah benar kerajaan ambil tahu tentang mahasiswa atau hanya segolongam mahasiswa? Apa yang diberi kerajaan tidak semestinya apa yang mahasiswa mahukan.

Tetapi saya harus puji kebijakan langkah-langkah politik Najib baru baru ini yang terkait mahasiswa. Sebagai contoh, kita ada 1.4 juta mahasiswa di Malaysia dan Najib ubah instrumen baucer buku kepada kad siswa. Kad siswa ini boleh dicucuk dan keluar wang tunai dari mesin ATM Bank Rakyat.

Ini adalah tegar Cash is King. Dengan menggunakan langkah ini, dia sebenarnya sudah menggagalkan semua gerak atur gerakan mahasiswa yang cuba mengedarkan risalah bahawa kerajaan tidak mengambil berat tentang mahasiswa.

Malangnya ini juga bermaksud, nilai mahasiswa berupa tunai RM250. Jujurnya aktivis mahasiswa kini hanya sedikit kalau hendak dibezakan dengan semua yang ada.

Tidak pelik jika isu mahasiswa tidak akan selesai.

 

Apakah dasar yang sepatutnya menjadi keutamaan?

Sebelum berbincang jauh, kita di negara ini terlampau banyak flip flop. Contohnya, ada satu kala kita panggil Bahasa Malaysia, ada satu kala kita panggil Bahasa Melayu. Kita berubah mengikut apa yang kita mahu.

Kerana kita terlampau bersandar kepada kuasa politik. Jadi, kalau soal nak panggil bahasa itu dengan panggilan apa pun tidak dapat selesaikan, maknanya ada banyak lagi cabang yang kita belum masuk. Sikap kita sendiri terhadap dasar itu harus diubah.

Sekarang, hasil dari sikap kita terhadap bahasa buat nilai bahasa itu sendiri sudah hilang. Orang akan mengatakan kita belajar bahasa Arab untuk orang agamawan iaitu Islamis, mereka belajar Bahasa Arab sebab Bahasa Arab ialah bahasa syurga. Kita belajar Bahasa Inggeris kerana Bahasa Inggeris ialah bahasa sosial. Kalau kita masuk untuk berkerja, temu duga dijalankan dalam Bahasa Inggeris. Tapi apa motivasi untuk orang belajar Bahasa Melayu?

 

Pada pendapat anda, adakah ia senang untuk memperolehi informasi?

Sebenarnya, untuk dikatakan ia senang atau tidak untuk didaptkan, kita harus bezakan apa yang kita ada sebelum ini sebagai sandaran yang relatif. Jadi, kalau dulu susah nak dapat informasi sebab yang ada hanya akhbar yang terhad. Sekarang sudah ada banyak informasi, kita ada Suara Keadilan, Roket Kini, Malaysiakini, TV3, semua informasi kita sudah ada. Sebenarnya ia amat mudah untuk mendapat informasi, tetapi sudut yang kita perlu tengok ialah dengan lambakan informasi ini, apa mereka hendak buat apa? Adakah dengan terlampau banyak informasi, terus mereka tidak mahu buat apa-apa.

Kita sering guna sentimen yang sama. Kita bersemangat menukarkan kerajaan, kita bersemangat kerana Anwar Ibrahim dipukul dalam penjara. Tetapi, kalau kita lihat dalam ayat yang mudah, semangat boleh pudar, tapi kalau mereka betul-betul ada kefahaman, ia akan kekal. Masalahnya sekarang, kita sudah berlampau bersandarkan semangat dan bukan kepada kefahaman kita sendiri. Kita juga disuapkan dengan cerita-cerita dengan sentimen yang sama pada setiap masa. Sentimen-sentimen yang disuapkan adalah tentang korupsi yang diulangsiar tetapi kerap tidak diendah.

 

Dalam pendapat anda, adakah usaha menentang AUKU berkesan?

Sekarang ni, kalau kita kirakan dari 1973 sampai 2017. Cuba bayangkan 44 tahun ini dalam s manusia. Secara simbolik, orang yang berumur 44 tahun adalah orang yang matang dan cuba bayangkan mahasiswa yang ingin menentang AUKU. Bagaimana hendak lawan satu sistem yang ditubuh 44 tahun lalu, yang matang. Gerak kerja aktivis mahasiswa untuk melawan AUKU daripada dulu sampai sekarang adalah hampir sama.

 

Adakah yang anda ingin beritahu anak muda?

Sepatutnya, anak muda sekarang harus tahu peranan masing-masing. Kita tidak boleh ada mahasiswa sahaja yang bersuara untuk mahasiswa. Kita juga harus ada anak muda yang bukan mahasiswa. Kita tidak boleh mengharapkan Hang Tuah untuk menyelamatkan seluruh Tanah Melayu. Kita tidak boleh mengharapkan ada satu individu yang turun daripada langit bagi menyelamatkan kita semua sebab manusia itu pun sudah masuk penjara. Kita harus berperanan bagi menyelamatkan diri sendiri, mengambil tahu isu orang di sekeliling kita sebab mereka di sekeliling saya adalah berbeza daripada mereka di sekelling orang lain. Jadi, anak muda harus terus berfikir bagaimana kita boleh meningkatkan taraf mereka tersendiri.

Kalau mahasiswa, mereka harus bercakap tentang mahasiswa dan anak muda mereka harus cakap tentang anak muda. Anak muda tidak boleh bercakap seperti orang tua. Anak muda tidak boleh hanya menjadi orang-orang ikutan orang-orang tua, menempel di sana sini, tidak! Jadi untuk berperanan dalam ruang lingkup sendiri adalah menjadi tanggungjawab!

 

Daniel Mizan Qayyum, 26, Pengasas Demokrat UM, Mahasiswa Undang-Undang